Saturday, 26 December 2015

PUISI UNTUK AYAH

'Suatu masa dulu,
Sering aku tatapi,
Redup sinar matamu,
Dlm petahnya bicaraku,
Yg tidak pernah lelah kau layani,
Keletahku yg masih belum mengerti,
Laramu yg tersimpan di hati,
Tiapkali rumitnya bibirmu mengukir senyuman,
Demi menghadiahkan ku sebuah kesempurnaan.

Kini,
Leka dibuai rancaknya kehidupan,
Ghairah menggapai kejayaan,
Jarang wajahmu kurenungi lagi,
Sedang usiamu pantas membilang hari,
Dan jiwamu sarat menanti,
Ruang kosongku utk sebuah bicara hati,

Sehingga aku tersentak,
Sekujur jasadmu yg kaku,
Ku usapi pipi tuamu,
Ku santuni dinginnya tanganmu,
Di sebalik urat-urat tuamu,
Di situ terhimpun sejuta pahalamu,
Di situ terukir sebuah derhakaku,
Aku anakmu yg sering terlupa....
Aku anakmu yg sering alpa...'

ALFATIHAH UNTUK ARWAH AYAH YG TELAH PERGI MENGADAP ILAHI PADA TANGGAL 30 OKTOBER 2007...SEMOGA RUH NYA TENANG DI SANA...AMIIIN.


MENGGAMIT KEINSAFAN...

Biar betapa keras naluri kemanusiaanku, namun kisah-kisah perit hidupnya tetap meruntun rasa sayu…menyentuh sejuta rasa keinsafan pada jiwa yang tak pernah menghargai nikmat yang tuhan berikan..betapa peritnya sejarah liku-liku hidupnya yang dia terpaksa harungi sehingga dia tidak lagi terkesan dengan kepayahan, lantaran semua sejarah masa lalunya tiada deskripsi yang tepat untuk diterjemahkan selain susah, derita, sukar, perit dan pedih…

Dia anak ketiga dari adik beradik seramai 12 orang, ayah cuma penjual ubat kampung yang dibuat sendiri dari akar-akar kayu, adakalanya ambil upah bina rumah orang kampung. Mak pula bidan kampung yang ada kemahiran mengurut… saban hari rezki yang diraih harus dikongsi seramai itu…menyebabkan dia tidak pernah merasai erti kemewahan dari awal usianya.

Setiap kali musim persekolahan bermula…tiada istilah baru untuk semua persiapan sekolah. Semua yang lusuh dibaharukan. Kasut sekolah tidak pernah bertukar, biar sudah tiada lagi putih seri warnanya. Ceritanya padaku dengan senyum terukir di bibir…’Ayah akan beli kasut yang saiznya sangat besar…supaya boleh digunakan untuk tempoh yang lama…dari darjah satu hingga darjah enam. Pakai je kasut tu. Mula-mula pakai besar sgt, kena sumbat kertas dihujung jari kaki. Lepas tu setiap tahun saya cuma cat kasut tu dengan cat putih supaya nampak baru…’ Tiada lagi riak sedih sewaktu dia menceritakan kisah duka itu…hatinya sudah mati untuk sebuah kesedihan.

Dunia kanak-kanaknya tiada kisah yang indah…perut yang lapar hanya sekadar mampu diisi dengan ubi dan pisang lenyek. Di sekolah, dia hanya mampu melihat dengan sayu kawan-kawan menikmati nasi subsidi setiap waktu rehat. Dia sebetulnya juga layak tapi disebabkan pegangan idea politik yang berbeza antara pengetua sekolah dan penjaganya, senarai untuk menerima bantuan makanan yang disediakan kepada murid-murid yang kurang mampu dengan zalimnya tidak mencatatkan namanya. Namun ada cikgu-cikgu yang baik dan tahu kesusahan hidupnya, akan selalu memanggil namanya setiap kali ada murid yang menerima bantuan tidak hadir…dia selalu menunggu detik itu…’Hari tu kawan saya tak datang, cikgu bagi kad untuk saya makan nasi goreng bantuan. Itulah nasi goreng paling sedap yang pernah saya makan. Rasa sedap tu saya ingat sampai hari ini…’ Cerita ringkas itu sungguh menyentap jiwaku yang tidak pernah merasai erti sebuah kedhaifan. Kisah itu cukup melonjak rasa keinsafan dan menoktahkan sebuah nafsu yang tidak pernah rasa memadai dengan segala yang telah ada…

Aku cuba bayangkan…bagaimana dia mewarnai zaman kanak-kanak dan dunia remajanya. Cuti sekolah dia akan ambik upah jual air, jual belon di tapak ekspo…selalu jugak dia jual belon di airport sewaktu musim haji. Masa tunggu keputusan SRP, dia sudah merantau seorang diri ke KL untuk ambil upah jual air di depan Pasaraya Kota Raya. Dengan menumpang rumah sedara yang juga merempat di kawasan setinggan di pinggir bandaraya KL, dia gigih berpanas berhujan mencari rezki. ‘Saya keluar rumah pagi-pagi lagi.. usai solat subuh, naik bas ke Kota Raya…Selesai menjual air, sy ambik bas pulang ke rumah sedara yang sy tumpang. Sekejap di KL, sekejap di Kemaman. ikut je mana peluang kerja yang ada.. Masa di Kemaman, selalu bila keletihan saya berehat di sebatang pohon yang tumbuh merendang depan rumah sedara yang sy tumpang tu..di situ saya suka baring sehingga kadang-kadang tertidur kepenatan...’ Dahan pokok itu lebih byk menampung tubuhya dari tilam yang kalau ada pun sudah lusuh…sedara bukan orang senang…dan dia tidak mahu susahkan mereka, byk masa dia habiskan di dahan pokok itu, dia temui kedamaian tiapkali berseorang di situ…Ceritanya lagi kepada saya…’Masa di jual air di depan Pasaraya Kota Raya KL, sebelah gerai air saya ada seorang aci India yang jual kacang putih…aci tu selalu puji saya kecik2 dah rajin bekerja…aci tu selalu kata sambil menuding jari telunjuknya betul2 tepat ke muka saya, ‘Kamu budak kicik…nanti besar kamu akan jadi orang kaya sebab kamu kicik sudah pandai cari duit…’

Dewasa bersama kemiskinan hidup yang menghimpit, dia meniti alam remaja dengan semangat yang gigih untuk berjaya. Sewaktu mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti, dia cuma berseorangan datang mendaftarkan diri. Tiada sorang pun ahli keluarga yang mengiringi…Dengan menjinjing beg besar yang sudah lusuh berisi pakaian, dia turun di Pudu dan menyusur laluan menuju ke universiti. Perjalanan yang sememangnya terlalu asing untuk dirinya. ‘Dulu masa kecik2, nak pergi bandar yang letaknya tak berapa jauh dari kampung pun susah. Ada sekali, kat Bandar ada ekspo. Dengar cerita dari kawan-kawan yang seronok pergi ekspo, saya dan adik2 usulkan kepada ayah…kami pun teringin merasainya. Ayah gigih cari duit, sehari sebelum eskpo tamat, ayah masih tak cukup duit…tapi rezki dtg juga di saat2 akhir, ayah usaha sewa teksi roda tiga. Sumbat semua anak2 yang masih kecil dalam satu teksi…akhirnya dapat juga kami pergi ekspo…ada sekali, cikgu kat sekolah buat rombongan sambil belajar ke Melaka. Satu kelas pergi, saya sorang je tak boleh ikut sebab ayah tak mampu…Bila balik dari rombongan, semua bercerita keseronokan melawat tempat2 bersejarah di Melaka, saya hanya mampu mendengar dan membayangkan…sedih sangat masa tu, sejak hari tu saya tanamkan dalam hati, suatu hari kalau ada rezki dan duit banyak, saya akan pergi ke seluruh dunia…’

Semasa di universiti, pantang ada cuti semester, dia akan ligat mencari duit. Sebut ape je restoren fast food yang dia tak pernah buat kerja part time, kfc, marry brown, pizza hut..semua dia ada kenangan bekerja di situ. Selalu dia akan ambik bahagian belakang atau kitchen. Senang bawak balik makanan yang reject. Adakala dia dengan nakalnya sengaja buat2 tak jadi bila prepare makanan, nanti boleh reject dan makanan itu boleh mengisi perutnya…jimat duit belanja untuk makan. Pernah dia kerja bawa teski…dulu mudah dan tak perlu banyak prosedur…teksi sewa dan disewakan. Dia tahu semua jadual dari time orang keluar masuk kerja, keluar masuk pasaraya hingga keluar masuk kelab2 malam…Kalau pulang cuti di kampung pula, dia akan ambil upah bina rumah atau masjid. Cukup la untuk menampung perbelanjaan di universiti selain dari pinjaman yang kerajaan sediakan. Dalam masa yang sama, dia tetap berkongsi rezki yang diraih hasil kerja-kerja part time dengan org tua di kampung…adik2 yang masih kecil pun perlu belanja sekolah yang cukup.