Thursday, 24 January 2013


SELEPAS TIGA TAHUN….SAYA RINDU DIA YANG DULU

Sungguh saya katakan,  selepas tiga tahun,  hati saya tidak boleh ditipu lagi. Saya betul-betul mengalami sepi dan rindu yg dulunya saya tepis dengan penuh rasa keegoan. Saya amati setiap rintihannya dan saya terhumban dengan rasa pilu yang membungkam….semua yang dulunya remeh kini menerjah. Betapa saya kembali cuba memahami dan menghargai setiap bicara sayunya waktu itu…

“Mak, boleh tak saya tak nak tinggal di sini…saya masih kecil. Saya janji, saya akan jadi anak yang baik… tapi tolong benarkan saya sekolah dekat dengan rumah. Saya tak biasa rutin di asrama….”

Kurang 10 minit dia akan menelefon lagi,
“Mak, boleh tak datang malam esok…saya rindu mak dan ayah…”

Dan setiap hujung minggu kisahnya,
“Mak, boleh tak buat surat, saya sakit dan saya nak balik awal…”

Hampir setengah tahun saya lalui drama yang sama hingga sampai ke tahap bicara saya agak keras,
“Mengapa awak tak faham-faham lagi….?? kami dah pilih sekolah terbaik untuk masa depan awak. Awak kena belajar berdikari. Awak tak boleh selalu bergantung pada kami lagi….Nanti bila kami dah tiada, awak nak kena uruskan diri sendiri jugak. Dah, jangan telefon lagi dan jangan sebut-sebut lagi pasal nak pindah sekolah!!!”

Kalah dengan kekerasan itu, dia luahkan atas setiap helaian dan ruang kertas yang ada….diukirnya besar-besar ayat-ayat begini,
”MAK DAN AYAH, TOLONG MAAFKAN SAYA KERANA TAK DAPAT JADI ANAK YANG BAIK, SAYA NAK PINDAH SEKOLAH….”.

Tahun pertama bersulam cerita….bila dia sudah pulih dan selesa, dia ceritakan semua pada saya….
”Mak, saya kena suruh macam2 dengan seniors masa tu. Satu mlm jam 12, senior minta saya ambilkan buku dekat bangunan sekolah yang jauhnya 100 meter dari asrama. Saya takut sangat tapi saya pergi jugak sorang-sorang sambil bawak Quran di tangan. Masa tu semua lampu dah tutup…”

Cerita nya lagi dengan nada separuh serius,
“Waktu makan kat dewan makan, senior mintak saya ambikkan makanan, bila saya nak ambik makanan utk saya, pakcik dewan makan tak bagi coz dia kata saya dah ambik tadi….Lepas balik prep, kadang-kadang tiap2 mlm saya kena basuh baju seniors….”

Saya renungi wajahnya yg penuh naif dan tidak berdosa...Menggetap bibir saya menahan geram tapi dia mohon sungguh2, jangan dilaporkan setiap kejadian kerana dia sudah biasa dan zaman itu pun telah berlalu. Lagipun katanya, semua itu perlu untuk membentuk generasi yang kental jiwanya.  Hmmm…keliru sungguh saya dengan jawapan itu…

Selepas tiga tahun berlalu, bicaranya agak sepi; bicaranya secara total berubah rentak dan tonasi….
“Mak, minggu ni boleh tak datang sekejap sahaje coz saya ada tuition…”

“Mak, minggu ni boleh balik tapi dtg ambil lewat sikit, saya ada projek dengan member2 nak kena siapkan…”

“Mak, minggu ni boleh outing tapi saya nak stay kat hostel je, seronok dengan member2…”

Dia yang kini tidak lagi dengan sikap manja dan keanak-anakkannya…dia yang kini sudah meniti remaja dan tiada lagi bicara sayunya…dia yang jarang-jarang lagi telefon saya untuk ucapkan “I miss you mum…” cepatnya masa beredar. Sungguh setakat ini saya mampu membentuk dia menjadi insan yang tabah dan berani….tapi sungguh, selepas 3 tahun berlalu, SAYA RINDU DIA YANG DULU….


Dear Son
“Try to understand that our age is not lived but survived.
Some day you will discover that,
despite our mistakes,
We always wanted the best thing for you and that we tried to prepare the way for you…we love you son…”

Luv always, MUM