Wednesday, 18 January 2012

SUATU PETANG SEBUAH CERITA....


Sudah lama tidak mencoret. Bukan kering idea tapi waktu yg tidak pernah ada ruang, lemas dihimpit kekalutan mengikut rentak dunia yang semakin rancak. “Ya Allah, jgn hanyutkan aku dengan urusan duniawi semata, kejutkan aku dalam keghairahan menyempurnakan hak dunia dan sedarkan aku sentiasa bahawa akhirat tetap menanti di sana…amiiin.”
____________________________________________________
Petang yg sibuk. Terpaksa attend meeting di luar. Saya cukup tidak gemar jika terpaksa menghadiri mesyuarat di luar dr pusat tanggungjawab. Tapi sudah diarahkan pergi, membawa amanat dan sebagai wakil yang telah sah dilantik. Maka arahan dan perintah harus dijunjung. Biar sejuta kebosanan dan kemalasan membelenggu diri, namun demi tugas hakiki, saya terpaksa korbankan kemahuan diri sendiri. Rupanya perjalanan petang tadi, terhidang dengan satu cerita utk dikongsi.
Sudah lama saya mengenali dia, tapi dari jauh. Selalu berselisih di sekitar ruang pejabat dan dia selalu dengan tingkahnya yang sopan dan tidak kedekut melemparkan senyuman. Apa yang dapat saya terjemahkan dari raut muka dan susuk tubuhnya, dia masih terlalu muda….dan ceria sentiasa. Secara kebetulan ptg itu, dia yang memandu, menggantikan pemandu pertama yang cuti kecemasan. Dalam van sewaktu pulang dari mesyuarat, cuma kami berdua, lalu saya mulakan bicara:
“Tinggal mana…?”
“Saya asal sini je kak, kat kg kerinchi…tapi sekarang saya tinggal dengan abang kat Damansara” jawabnya diiringi senyuman mesra seperti biasa.
Saya tanya lagi “Banyak buat overtime…?”
Lalu dengan ikhlasnya dia jawab:
“Ada jugak… kerja gaji drebar macam saya ni berapa la sgt kalau buat overtime pun…tapi nak kena buat jugak coz nak tambah duit…” dia senyum di akhir bicaranya.
“Takpelah, kerja ape2 pun, gaji banyak manapun tapi kalau pandai simpan, lama-lama banyak jugak duit kan…?” pintas saya cuba melemparkan rasa kelegaan….dia cuma angguk, senyum lebar tanda setuju dengan kata-kata saya.
Kabur dengan jawapannya yang pertama tadi, lalu saya susul lagi dengan soalan:
“Tadi kata tinggal dengan abg, mak ayah ada lagi…?”
Jawapannya kali ini panjang berserta huraian. Dia yang sentiasa tenang dan ceria rupanya punya cerita rahsia yang mampu  mengocak rasa pilu untuk saya garapkan di sini.
Dia punya seorang ibu yang telah lama lumpuh akibat serangan angin ahmar…masa tu dia adik beradik masih kecil. Mujur dia ada seorang ayah yang bertanggungjawab uruskan semua….seorang isteri yang tak boleh bergerak dan anak-anak yang masih kecil. Tapi masa dia masih di sekolah rendah darjah 6, ayah pergi dijemput illahi akibat kanser paru2…. Masa tu dia yang masih kecil dan seorang abang serta kakak yang jugak masih bersekolah sama-sama uruskan ibu mereka.
Terkedu saya di ayat-ayat akhir ceritanya…masa dia sebut “saya, kakak dan abg sama-sama uruskan mak yang lumpuh, masa tu saya darjah 6, gilir-gilir jaga mak…” terasa sesuatu seperti tersumbat di kerongkong saya…teringat pada anak laki-laki saya yang masih kecil, sewaktu dia darjah 6, dia masih tak boleh uruskan ape-ape, jgnkan hal org lain, uruskan diri sendiri pun dia masih terumbang ambing….
Belum sempat saya mencuri nafas panjang sebaik diterjah cerita yang menyayatkan, dia sambung lagi dengan tenangnya...
“Tapi mak saya baru meninggal bulan lepas kak…tak sakit pun, tetiba dia batuk dan muntah darah terus meninggal… selalu pagi-pagi sebelum dtg kerja saya yang uruskan makan minum dia, tukar lampin dia…”
Saya terus hilang suara…Cuma sekadar mengangguk. Baru teringat saya pernah terbaca emel makluman tentang kematian ibu salah seorang staff. Tapi emel tu sekadar singgah sekejap di mata saya lalu terus lenyap di antara emel2 lain yang lebih menarik dan perlu diberi keutamaan. Alangkah alpa nya saya…
Kesian….masih muda remaja tapi sudah melalui jalan hidup yang penuh warna-warna yang suram. Mungkin tahap pelajarannya agak terganggu disebabkan kehilangan orang tersayang pada usia yang masih mentah. Dan dalam mengharungi hari-hari mudanya, dia telah diiuji dengan tanggungjawab yang agak berat. Semoga ada hikmah di sebalik dugaan yang dia tempoh. Saya hanya mampu mendoakan semoga keadilan tuhan akan sentiasa ada utk dia. Juga doa utk saya, semoga tuhan panjangkan umur saya supaya dpt menyempurnakan tanggungjawab dalam membesarkan dan mendidik anak saya supaya jiwanya juga kental dan tabah seperti dia bila tiba masanya saya dijemput pergi... amiiin.

No comments:

Post a Comment