Monday, 10 October 2011

Cerita Tentang Dia…


Perkenalan yang terjalin sejak di kampus, saya mengenali dia bukan setakat seorang teman yang baik, malah lebih dari itu... dia sudah saya anggap sebagai seorang kakak yang cukup saya hormati. Peribadinya begitu terpuji, sopan santun dan lemah lembut setiap kali berbicara. Bukan itu sahaja, namanya sentiasa tergolong dalam senarai teratas calon pelajar yang cemerlang akademiknya. Saya antara orang yang selalu minta diberi tunjuk ajar dan dia tidak pernah lokek berkongsi ilmu yang ada. Dia benar-benar seorang teman sejati yang selalu susah senang bersama dan sering menghulur bantuan tanpa dipinta.

Wajahnya cantik, putih bersih dan sentiasa tenang dan menenangkan setiap jiwa yang memandang. Dia sering diintai lelaki yang ingin mencari  kekasih hati, mengidamkan seorang suri yang mithali. Memang dia selayaknya dipuji begini kerana kesempurnaannya dalam segenap segi….walaupun dia yang saya kenali tidak pernah bangga diri dengan kelebihan yang dimiliki…

Biarpun sekian lama, begitu sukar hatinya terbuka untuk mana-mana lelaki yang mendekatinya, akhirnya dia tewas juga. Saat itu, saya dan teman-teman berbisik sendiri, alangkah bertuahnya lelaki itu lantaran berjaya mengukir nama di ruang hatinya. Kesetiaan yang dipamerkan benar-benar lahir dari hatinya yang ikhlas. Dia betul2 seorang teman sejati dan berpegang pada janji. Cinta dan kesetiaannya begitu tulus untuk sang lelaki, kekasih hati. Pengorbanan demi pengorbanan dia relakan, pintanya cuma satu, semoga segala mimpinya berakhir indah dengan kekasih hati. Dan dia selalu doakan dan nantikan saat indah itu, doa teman-teman pun turut sama mengiringi dan merestui, semoga dia dan kekasih hati bersatu akhirnya.

Namun, tiada siapa sangka, tiada yang dapat meneka…tragisnya sebuah kesudahan. Yang ada cuma sebuah persoalan: mengapa sekejam itu dia ditinggalkan? Saat terukirnya detik itu….seluruh jiwa raganya persis diragut pergi. Tanpa penjelasan, dia ditinggalkan dalam sejuta kekaburan. Bukan sahaja dipinggirkan keseorangan, malah kekasih hati dengan mudahnya membina mahligai dengan perempuan lain di saat cinta dan janji-janji yang baru terucap lewat hari kelmarin masih segar dalam ingatan. Bicara sayunya pada saya dalam redup mata seorang kekasih yang tidak pernah berdosa:

“Semalam, kami masih setia menyemai cinta pada ranting-ranting hari…tiada yang tidak sempurna pada janji kami. Semuanya tersusun rapi, ikatan kami tenang dan aman, tiada angin yang mengocak kedamaian, tiada taufan yang membadai ribut…tapi kenapa mudahnya kenyataan ini menerpa….semurah itukah harga sebuah cinta?”

Saya cuma mampu menemaninya, memapah dia untuk berdiri dan tidak punya bicara yang selesa untuk menghalang airmata nya dari terus mengalir. Lelaki, mengapa disapa hati perempuannya, jika hanya ingin biarkan dia sendiri begini? Mengapa diusik jiwanya yang sunyi, jika hanya ingin dinodai kesetiaanya yang benar-benar tulus dan suci? Mana harga sebuah cinta, bila seluruh jiwa raganya dibiarkan meratap sedih…? Deritanya dia waktu itu, tuhan sahaja yang maha tahu….sukar utk saya gambarkan perasaannya kerana saya tidak pernah diuji begitu. Tapi hakikatnya, terlalu lama dia meratapi pemergian dan kehilangan kekasih hati yang satu…hanya yang satu. Dia benar-benar rebah dan lemah dalam keseorangan meratapi perpisahan dan keterasingan.

Kesian dia…. Meronta-meronta berjuang memujuk hati yang lara dan kecewa. Dia masih terpinga-pinga, mencari apa silap yang ada….sehingga ke hari ini, jawapannya tetap samar. Biarpun saat ini, dia sudah miliki sebuah kehidupan yang bahagia dan sempurna, bersama anak-anak dan suami tercinta, jauh di  sudut hati, kisah derita itu masih menghantui. Dan dia simpan sendiri setiap rahsia, semuanya masih rapat terkunci…..

Semoga kekuatan sentiasa bersamanya, semoga rumahtangga dan hidupnya senantiasa dilingkari kebahagiaan yang hakiki, jgn ada lagi cerita derita di hujung hari…amiiin.


No comments:

Post a Comment