Monday, 10 October 2011

Cerita Tentang Dia…


Perkenalan yang terjalin sejak di kampus, saya mengenali dia bukan setakat seorang teman yang baik, malah lebih dari itu... dia sudah saya anggap sebagai seorang kakak yang cukup saya hormati. Peribadinya begitu terpuji, sopan santun dan lemah lembut setiap kali berbicara. Bukan itu sahaja, namanya sentiasa tergolong dalam senarai teratas calon pelajar yang cemerlang akademiknya. Saya antara orang yang selalu minta diberi tunjuk ajar dan dia tidak pernah lokek berkongsi ilmu yang ada. Dia benar-benar seorang teman sejati yang selalu susah senang bersama dan sering menghulur bantuan tanpa dipinta.

Wajahnya cantik, putih bersih dan sentiasa tenang dan menenangkan setiap jiwa yang memandang. Dia sering diintai lelaki yang ingin mencari  kekasih hati, mengidamkan seorang suri yang mithali. Memang dia selayaknya dipuji begini kerana kesempurnaannya dalam segenap segi….walaupun dia yang saya kenali tidak pernah bangga diri dengan kelebihan yang dimiliki…

Biarpun sekian lama, begitu sukar hatinya terbuka untuk mana-mana lelaki yang mendekatinya, akhirnya dia tewas juga. Saat itu, saya dan teman-teman berbisik sendiri, alangkah bertuahnya lelaki itu lantaran berjaya mengukir nama di ruang hatinya. Kesetiaan yang dipamerkan benar-benar lahir dari hatinya yang ikhlas. Dia betul2 seorang teman sejati dan berpegang pada janji. Cinta dan kesetiaannya begitu tulus untuk sang lelaki, kekasih hati. Pengorbanan demi pengorbanan dia relakan, pintanya cuma satu, semoga segala mimpinya berakhir indah dengan kekasih hati. Dan dia selalu doakan dan nantikan saat indah itu, doa teman-teman pun turut sama mengiringi dan merestui, semoga dia dan kekasih hati bersatu akhirnya.

Namun, tiada siapa sangka, tiada yang dapat meneka…tragisnya sebuah kesudahan. Yang ada cuma sebuah persoalan: mengapa sekejam itu dia ditinggalkan? Saat terukirnya detik itu….seluruh jiwa raganya persis diragut pergi. Tanpa penjelasan, dia ditinggalkan dalam sejuta kekaburan. Bukan sahaja dipinggirkan keseorangan, malah kekasih hati dengan mudahnya membina mahligai dengan perempuan lain di saat cinta dan janji-janji yang baru terucap lewat hari kelmarin masih segar dalam ingatan. Bicara sayunya pada saya dalam redup mata seorang kekasih yang tidak pernah berdosa:

“Semalam, kami masih setia menyemai cinta pada ranting-ranting hari…tiada yang tidak sempurna pada janji kami. Semuanya tersusun rapi, ikatan kami tenang dan aman, tiada angin yang mengocak kedamaian, tiada taufan yang membadai ribut…tapi kenapa mudahnya kenyataan ini menerpa….semurah itukah harga sebuah cinta?”

Saya cuma mampu menemaninya, memapah dia untuk berdiri dan tidak punya bicara yang selesa untuk menghalang airmata nya dari terus mengalir. Lelaki, mengapa disapa hati perempuannya, jika hanya ingin biarkan dia sendiri begini? Mengapa diusik jiwanya yang sunyi, jika hanya ingin dinodai kesetiaanya yang benar-benar tulus dan suci? Mana harga sebuah cinta, bila seluruh jiwa raganya dibiarkan meratap sedih…? Deritanya dia waktu itu, tuhan sahaja yang maha tahu….sukar utk saya gambarkan perasaannya kerana saya tidak pernah diuji begitu. Tapi hakikatnya, terlalu lama dia meratapi pemergian dan kehilangan kekasih hati yang satu…hanya yang satu. Dia benar-benar rebah dan lemah dalam keseorangan meratapi perpisahan dan keterasingan.

Kesian dia…. Meronta-meronta berjuang memujuk hati yang lara dan kecewa. Dia masih terpinga-pinga, mencari apa silap yang ada….sehingga ke hari ini, jawapannya tetap samar. Biarpun saat ini, dia sudah miliki sebuah kehidupan yang bahagia dan sempurna, bersama anak-anak dan suami tercinta, jauh di  sudut hati, kisah derita itu masih menghantui. Dan dia simpan sendiri setiap rahsia, semuanya masih rapat terkunci…..

Semoga kekuatan sentiasa bersamanya, semoga rumahtangga dan hidupnya senantiasa dilingkari kebahagiaan yang hakiki, jgn ada lagi cerita derita di hujung hari…amiiin.


Tuesday, 4 October 2011

MIMPI TENTANG RINDU.....

Pagi yang dingin, di saat saya ingin membuka mata untuk bangkit solat subuh, terasa agak sukar dan seperti terjahit kedua-dua belah kelopak mata. Bila sentuh pipi, rasa basah kedua belah pipi. Ada airmata rupanya…..mimpi sedih benar agaknya malam tadi. Cuma saya masih tak mampu mengingati peristiwa apa yang mengundang rasa sayu hingga mengalir airmata. Sudah sekian lama, jarangnya air mata ini mengalir, itu tandanya hidup saya sentiasa ditemani kebahagiaan, Alhamdulillah…

Masa air wudhu pertama membasahi muka, saya tetiba rasa sayu. Masih berusaha mengimbas kembali apa yang saya alami dalam mimpi sebelum azan subuh tadi. Semuanya masih kabur dan berbalam2. Saya solat subuh, selesai solat subuh, wirid dan doa, saya duduk bertafakur sejenak. Ada rasa rindu sebaik sahaja saya cuba mengingati mimpi tadi. Satu-satu adegan dalam mimpi cuba saya kutip dan cantum kembali…

‘Bermula dari bilik study, hampir siap semua tugasan tapi malam semakin tua, sunyi pun mengundang sedikit rasa ketakutan. Lalu saya kemas semua barang-barang untuk pindah ke bilik tidur utama. Tangan cuma ada dua, tapi banyak pula barangan hendak dipegang dan bawa. Saya angkat laptop sebelah tangan, pegang handphone dan buku-buku dengan tangan sebelah lagi. Masa melangkah keluar, wayar laptop terjatuh….susahnya saya terpaksa terbongkok2 tunduk, masa tu saya nampak ada tangan tolong angkat wayar laptop yang panjang dan berikan pada saya, dengan cermat wayar itu diletakkan atas laptop supaya ianya tidak jatuh lagi. Lalu saya tak jadi tunduk. Ada rasa lega bila ada yang mahu membantu….bila saya dongak untuk melihat tangan siapakah yang menghulurkan bantuan tanpa dipinta…saya nampak dalam kabur… wajah arwah ayah, seperti biasa dengan tenangnya tersenyum ke arah saya. Wajah itu yang sentiasa saya rindukan sejak 4 tahun dulu. Wajah itu yang sentiasa mengundang rasa sebak dalam setiap doa-doa saya lepas solat. Tanpa sepatah kata, tanpa secalit bicara….mimpi itu pun berhenti di situ’

Itulah jawapannya untuk airmata yang mengalir…untuk sebuah mimpi yang sedih, mengundang kerinduan yang tak pernah padam.

Pagi itu benar-benar meruntun rasa sayu. Selesai al-waqiah, saya terus sambung baca surah al-fatihah dan yasin untuk hadiahkan kepada arwah ayah. Semoga Ruhnya tenang di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amiiin…