Sunday, 12 June 2011

SURATAN TAKDIR YANG HARUS DIREDHAI….


Alhamdulillah….itu saja yang mampu saya lafazkan…Walaupun keputusan yang terpaksa saya ambil waktu itu terlalu berat dan mungkin paling menghampakan bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk semua insan yang rapat dengan saya… tapi saya yakin dengan berpandukan munajat dan istikharah saban malam, itulah takdir tuhan yang terbaik untuk saya.  Justeru itu saya tidak perlu memujuk hati kerana perasaan kecewa tidak pernah bersarang sejak keputusan itu terpaksa saya pilih, akhir dan muktamad.
___________________________________
Setelah 2 kali menjalani pembedahan atas alasan yang sama ie endometriosis, akhirnya gynae menasihati saya untuk menjalani total hysterectomy atau tabhso (atau dalam bahasa yang mudahnya pembedahan membuang rahim) setelah penyakit itu kembali bertandang di seluruh  bahagian dalam dan luar rahim saya untuk kali ketiganya.

Kali pertama penyakit ini dikesan semasa saya di awal pregnancy. Gynae terpaksa menunggu sehingga usia kandungan saya 4 bulan untuk membuat pembedahan mengusir gumpalan darah cist yang bertaburan di sekeliling janin yang baru satu bulan berdenyut nadinya dalam rahim saya. Saya jalani pembedahan pertama dengan penuh kerisauan kerana kata gynae kandungan saya mungkin gugur akibat pembedahan itu.  Teringat lagi pertanyaan pertama saya kepada nurse sebaik disedarkan setelah selesai proses pembedahan, “how’s my baby?” Alhamdulillah, kandungan saya selamat dan endometriosis berjaya dipisahkan dari rahim saya tanpa menyentuh kedudukan janin yang masih lemah beristirehat di dalam perut saya  sewaktu pembedahan itu. Saya kemudiannya selamat melahirkan baby 5 bulan selepas itu melalui kaedah ceaserian kerana kedudukannya yang transverse lie (songsang melintang).

Setelah umur anak saya setahun 8 bulan, endometriosis kembali menyerang tetapi kali ini lebih serius. Setiap kali period, saya rasa sakit separuh mati. Tiga hari yang paling kritikal saya hanya mampu terbaring di katil dan kesakitan yang teruk sehingga memaksa saya muntah dan pitam. Sakit yang berlarutan sehingga seminggu. Pain killer dan ponstan menjadi teman baik saya walaupun ianya hanya melegakan untuk tempoh waktu 4 jam sahaja. Tidak cukup dengan pil dan suntikan dari perubatan moden, saya ikhtiar pelbagai rawatan alternative, semua air akar kayu yang pahit sudah saya telan, senaman chi qong….semuanya mampu melegakan tapi ujian ultrasound tidak menunjukkan keputusan yang positif. Justeru memaksa saya untuk jalani pembedahan kali kedua.

Lapan tahun berselang, tetiba symptoms yang sama saya alami lagi. Ujian ultrasound mengesahkan endometriosis saya lebih severe. Semasa gynae menyebut “…better remove the whole things, I’m afraid that it may turn to be CANCER…” Perkataan terakhir itu mengocak kerisauan saya. Untuk memuaskan hati, saya refer second opinion, pun sama jugak nasihatnya. Semasa berita ini saya sampaikan kepada suami, dia juga yakin dengan nasihat gynae. Walaupun cuba disorot, saya dapat mengesan ada mendung di wajahnya…”Hanya seorang zuriat sahaja untuk kita?” saya suarakan dengan nada kecewa. Lantas jawabnya:

“Cukup lah, sekurang2 nya kita masih punya zuriat. Kita boleh hidup dengan kasih sayang yang berpanjangan….kita terima amanah Allah untuk satu-satunya pemberian yang paling berharga ini. Syukurlah dengan hanya seorang zuriat. InsyaAllah, hidup kita tak akan sunyi kerana dia ada antara kita…Sebuah kebahagiaan itu lebih penting dari kesakitan…”

Saya amati kata-katanya dengan penuh rasa selesa dan bahagia. Ada ketenangan sebaik ayat-ayat itu menyinggahi telinga saya. Terima kasih tuhan, walau seribu kekurangannya yang selama ini senantiasa zahir pada pandangan saya, dia tetap anugerah yang paling sempurna untuk saya. Dia yang sentiasa meniup kekuatan dan keyakinan untuk saya dan seterusnya sentiasa mengiringi saya sepanjang perjalanan ini. Dia teman yang paling setia dan pengubat segala duka. 

Akhirnya, saya jalani pembedahan itu.  Pembedahan keempat untuk saya. Sehari selepas pembedahan, gyane yakinkan saya bahawa keputusan yang saya ambil benar-benar tepat kerana imej endometriosis pada ovary dan uterus saya yang dikeluarkan betul2 mengerikan.

Alhamdulillah, selepas pembedahan terakhir itu, saya tidak pernah rasa kekurangan malah lebih selesa. Kesan sampingan yang selalu saya dengar dan juga baca melalui internet tidak pernah saya alami sehingga ke hari ini. Saya juga tidak perlu mengambil pil hormon HRT. Empat tahun selepas pembedahan, saya sihat walafiat. Tiada kesakitan yang selalu menjadi igauan ngeri setiap bulan. Saya bebas dari pain killer dan ponstan.

….Untuk semua yang senasib dengan saya, redhai lah dengan takdir Allah untuk kita, kerana setiap yang tersurat itu terlindung sejuta hikmahnya.  Terima kenyataan dengan tenang dan yakinlah bahawa sentiasa ada nur di sebalik kegelapan seumpama adanya warna-warna pelangi di sebalik tangisan hujan dan mendungnya awan. InsyaAllah, ketenangan akan menjadi milik kita jika sentiasa berpuashati dengan takdirNya. Syukur Alhamdulillah, bisikkan selalu “Ya Allah, sesungguhnya aku redha dengan takdir Mu….amiiin.”