Saturday, 26 December 2015

PUISI UNTUK AYAH

'Suatu masa dulu,
Sering aku tatapi,
Redup sinar matamu,
Dlm petahnya bicaraku,
Yg tidak pernah lelah kau layani,
Keletahku yg masih belum mengerti,
Laramu yg tersimpan di hati,
Tiapkali rumitnya bibirmu mengukir senyuman,
Demi menghadiahkan ku sebuah kesempurnaan.

Kini,
Leka dibuai rancaknya kehidupan,
Ghairah menggapai kejayaan,
Jarang wajahmu kurenungi lagi,
Sedang usiamu pantas membilang hari,
Dan jiwamu sarat menanti,
Ruang kosongku utk sebuah bicara hati,

Sehingga aku tersentak,
Sekujur jasadmu yg kaku,
Ku usapi pipi tuamu,
Ku santuni dinginnya tanganmu,
Di sebalik urat-urat tuamu,
Di situ terhimpun sejuta pahalamu,
Di situ terukir sebuah derhakaku,
Aku anakmu yg sering terlupa....
Aku anakmu yg sering alpa...'

ALFATIHAH UNTUK ARWAH AYAH YG TELAH PERGI MENGADAP ILAHI PADA TANGGAL 30 OKTOBER 2007...SEMOGA RUH NYA TENANG DI SANA...AMIIIN.


MENGGAMIT KEINSAFAN...

Biar betapa keras naluri kemanusiaanku, namun kisah-kisah perit hidupnya tetap meruntun rasa sayu…menyentuh sejuta rasa keinsafan pada jiwa yang tak pernah menghargai nikmat yang tuhan berikan..betapa peritnya sejarah liku-liku hidupnya yang dia terpaksa harungi sehingga dia tidak lagi terkesan dengan kepayahan, lantaran semua sejarah masa lalunya tiada deskripsi yang tepat untuk diterjemahkan selain susah, derita, sukar, perit dan pedih…

Dia anak ketiga dari adik beradik seramai 12 orang, ayah cuma penjual ubat kampung yang dibuat sendiri dari akar-akar kayu, adakalanya ambil upah bina rumah orang kampung. Mak pula bidan kampung yang ada kemahiran mengurut… saban hari rezki yang diraih harus dikongsi seramai itu…menyebabkan dia tidak pernah merasai erti kemewahan dari awal usianya.

Setiap kali musim persekolahan bermula…tiada istilah baru untuk semua persiapan sekolah. Semua yang lusuh dibaharukan. Kasut sekolah tidak pernah bertukar, biar sudah tiada lagi putih seri warnanya. Ceritanya padaku dengan senyum terukir di bibir…’Ayah akan beli kasut yang saiznya sangat besar…supaya boleh digunakan untuk tempoh yang lama…dari darjah satu hingga darjah enam. Pakai je kasut tu. Mula-mula pakai besar sgt, kena sumbat kertas dihujung jari kaki. Lepas tu setiap tahun saya cuma cat kasut tu dengan cat putih supaya nampak baru…’ Tiada lagi riak sedih sewaktu dia menceritakan kisah duka itu…hatinya sudah mati untuk sebuah kesedihan.

Dunia kanak-kanaknya tiada kisah yang indah…perut yang lapar hanya sekadar mampu diisi dengan ubi dan pisang lenyek. Di sekolah, dia hanya mampu melihat dengan sayu kawan-kawan menikmati nasi subsidi setiap waktu rehat. Dia sebetulnya juga layak tapi disebabkan pegangan idea politik yang berbeza antara pengetua sekolah dan penjaganya, senarai untuk menerima bantuan makanan yang disediakan kepada murid-murid yang kurang mampu dengan zalimnya tidak mencatatkan namanya. Namun ada cikgu-cikgu yang baik dan tahu kesusahan hidupnya, akan selalu memanggil namanya setiap kali ada murid yang menerima bantuan tidak hadir…dia selalu menunggu detik itu…’Hari tu kawan saya tak datang, cikgu bagi kad untuk saya makan nasi goreng bantuan. Itulah nasi goreng paling sedap yang pernah saya makan. Rasa sedap tu saya ingat sampai hari ini…’ Cerita ringkas itu sungguh menyentap jiwaku yang tidak pernah merasai erti sebuah kedhaifan. Kisah itu cukup melonjak rasa keinsafan dan menoktahkan sebuah nafsu yang tidak pernah rasa memadai dengan segala yang telah ada…

Aku cuba bayangkan…bagaimana dia mewarnai zaman kanak-kanak dan dunia remajanya. Cuti sekolah dia akan ambik upah jual air, jual belon di tapak ekspo…selalu jugak dia jual belon di airport sewaktu musim haji. Masa tunggu keputusan SRP, dia sudah merantau seorang diri ke KL untuk ambil upah jual air di depan Pasaraya Kota Raya. Dengan menumpang rumah sedara yang juga merempat di kawasan setinggan di pinggir bandaraya KL, dia gigih berpanas berhujan mencari rezki. ‘Saya keluar rumah pagi-pagi lagi.. usai solat subuh, naik bas ke Kota Raya…Selesai menjual air, sy ambik bas pulang ke rumah sedara yang sy tumpang. Sekejap di KL, sekejap di Kemaman. ikut je mana peluang kerja yang ada.. Masa di Kemaman, selalu bila keletihan saya berehat di sebatang pohon yang tumbuh merendang depan rumah sedara yang sy tumpang tu..di situ saya suka baring sehingga kadang-kadang tertidur kepenatan...’ Dahan pokok itu lebih byk menampung tubuhya dari tilam yang kalau ada pun sudah lusuh…sedara bukan orang senang…dan dia tidak mahu susahkan mereka, byk masa dia habiskan di dahan pokok itu, dia temui kedamaian tiapkali berseorang di situ…Ceritanya lagi kepada saya…’Masa di jual air di depan Pasaraya Kota Raya KL, sebelah gerai air saya ada seorang aci India yang jual kacang putih…aci tu selalu puji saya kecik2 dah rajin bekerja…aci tu selalu kata sambil menuding jari telunjuknya betul2 tepat ke muka saya, ‘Kamu budak kicik…nanti besar kamu akan jadi orang kaya sebab kamu kicik sudah pandai cari duit…’

Dewasa bersama kemiskinan hidup yang menghimpit, dia meniti alam remaja dengan semangat yang gigih untuk berjaya. Sewaktu mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti, dia cuma berseorangan datang mendaftarkan diri. Tiada sorang pun ahli keluarga yang mengiringi…Dengan menjinjing beg besar yang sudah lusuh berisi pakaian, dia turun di Pudu dan menyusur laluan menuju ke universiti. Perjalanan yang sememangnya terlalu asing untuk dirinya. ‘Dulu masa kecik2, nak pergi bandar yang letaknya tak berapa jauh dari kampung pun susah. Ada sekali, kat Bandar ada ekspo. Dengar cerita dari kawan-kawan yang seronok pergi ekspo, saya dan adik2 usulkan kepada ayah…kami pun teringin merasainya. Ayah gigih cari duit, sehari sebelum eskpo tamat, ayah masih tak cukup duit…tapi rezki dtg juga di saat2 akhir, ayah usaha sewa teksi roda tiga. Sumbat semua anak2 yang masih kecil dalam satu teksi…akhirnya dapat juga kami pergi ekspo…ada sekali, cikgu kat sekolah buat rombongan sambil belajar ke Melaka. Satu kelas pergi, saya sorang je tak boleh ikut sebab ayah tak mampu…Bila balik dari rombongan, semua bercerita keseronokan melawat tempat2 bersejarah di Melaka, saya hanya mampu mendengar dan membayangkan…sedih sangat masa tu, sejak hari tu saya tanamkan dalam hati, suatu hari kalau ada rezki dan duit banyak, saya akan pergi ke seluruh dunia…’

Semasa di universiti, pantang ada cuti semester, dia akan ligat mencari duit. Sebut ape je restoren fast food yang dia tak pernah buat kerja part time, kfc, marry brown, pizza hut..semua dia ada kenangan bekerja di situ. Selalu dia akan ambik bahagian belakang atau kitchen. Senang bawak balik makanan yang reject. Adakala dia dengan nakalnya sengaja buat2 tak jadi bila prepare makanan, nanti boleh reject dan makanan itu boleh mengisi perutnya…jimat duit belanja untuk makan. Pernah dia kerja bawa teski…dulu mudah dan tak perlu banyak prosedur…teksi sewa dan disewakan. Dia tahu semua jadual dari time orang keluar masuk kerja, keluar masuk pasaraya hingga keluar masuk kelab2 malam…Kalau pulang cuti di kampung pula, dia akan ambil upah bina rumah atau masjid. Cukup la untuk menampung perbelanjaan di universiti selain dari pinjaman yang kerajaan sediakan. Dalam masa yang sama, dia tetap berkongsi rezki yang diraih hasil kerja-kerja part time dengan org tua di kampung…adik2 yang masih kecil pun perlu belanja sekolah yang cukup.


Monday, 8 July 2013

MENGIMBAU KENANGAN LALU...

Mengintai kembali daerah sepi itu setelah hampir sekian lama saya tinggalkan…hati terdetik ‘Ya Allah…macamane suatu waktu dahulu aku harungi nya keseorangan di sini…?’ 10 tahun bukan masa yg singkat untuk berlalu begitu sahaja tanpa secebis kenangan paling berharga…Di situ terukir pahit manis sebuah kehidupan…di situ terpahat erti sebuah kemanusiaan…di situ terabadi sejuta kenyataan, kemanisan dan kepahitan. Tempat jatuh, bangun, tersungkur, demi menyempurnakan tuntutan kehidupan yang hakiki….
____________________________________________

Dua minggu sebaik lafaz ‘Aku terima nikahnya…’ oleh suami tercinta, kami terpisah demi tuntutan kerja. Kami hidup berasingan, dia di Kl saya terlontar ke daerah sunyi itu. Ikatan sebagai pasangan suami isteri cuma dapat dirasai setiap hujung minggu. Tiada jalan pintas utk kami bersatu waktu itu. Tiada istilah pertemuan di ‘alam maya’…facebook, twitter, skype, whatsapp, wechat…semua belum wujud zaman itu. Masih teraba-raba guna emel & handphone yg coverage nya asyik tenggelam timbul.

Di daerah itu saya hidup…bertemankan sunyi dan sepi. Alhamdulillah, ada kawan-kawan yang mengundang rasa ceria, meniup semangat di saat hati rasa tak bermaya…Alhamdulillah…dengan kekuatan tuhan kurniakan utk saya selama 10 tahun di situ. Dari menjadi isteri sehingga menjadi ibu beranak satu. Waktu itu seperti tiada rasa kepayahan…tiada makna sukar…tiada istilah derita…semuanya berlalu dengan bersahaja. Cuma kini, bila di singkap semula tabir 10 tahun lalu di daerah itu, baru saya sedar betapa peritnya perjuangan dulu…sukarnya dalam keterasingan menelusuri jalanan hidup begitu.

Cuti hujung minggu yg tak sama
Petang Khamis, ramai kawan-kawan yang dah balik kampung. Jumaat adalah hari paling sunyi. Suami akan sampai paling awal jumaat malam if naik flight. Kalau naik bas, sabtu jam 3 or 4 pagi baru sampai. if suami dtg dgn bas, sementara menunggu suami sampai malam itu, saya akan tidur bertemankan quran di tangan. Memang saya seorang yang teramat penakut dan susah lena if kena tidur sorang malam-malam. If suami dtg naik flight, saya akan memandu selama 45 minit utk jemput dia di airport..last flight mendarat jam 12 mlm. Hari sabtu bebas tanpa gangguan. Ahad saya kerja. Kelas kadang-kadang sampai jam 7 petang.  Terpaksa tinggalkan suami sorang-sorang kat rumah. Tapi nasib baik tinggal dlm  kuarters…sementara tunggu kelas ptg, sempat balik lunch dgn suami. Balik dr kerja, kena bergegas hantar suami ke perhentian bas atau aiport. Selalu ada kawan yang menemani… pernah juga saya sorang-sorang balik dari hantar suami…mlm2 memang mengerikan memandu berseorangan dlm gelap, kiri kanan cuma hutan dan bukit. Lampu jln memang tak de..cuma cahaya bulan yang menerangi. Masa tu, baca ayat2 quran tak berhenti, bawak kereta rasa mcm bwk kapalterbang.

Pernah bas yang suami naik utk balik kl mati di tengah jln. Saya terpaksa memandu selama 2 jam untuk ambik dia dan kami terpaksa patah balik ke airport, suami terpaksa ambik flight balik kl coz dah lewat utk ke tempat kerja pagi esoknya. Alhamdulillah..hampir setiap minggu suami akan pulang. Paling lama 2 minggu kami tak bertemu. Bila cuti semester, giliran saya turun kl. Ikut ape yang tercapai, dgn bas or flight. Pernah sy naik bas pada petang hari…passenger cuma saya sorang..,yg lain cuma drebar bas & kelindan. Dekat nak sampai Rawang, bas mati. Masa tu hari dah gelap. Dalam gelap sunyi sepi, kiri kanan highway…kiri kanan cuma hutan dan dalam perut bas pula cuma saya, drebar bas dan kelindan…Alhamdulillah, tuhan lindungi saya dan kurniakan org-org yang baik mengelilingi saya, tiada yang tak baik terjadi. Suami datang ambil dari KL. Nasib baik dah dekat nak sampai.

Masa Mengandung
Mengandung anak pertama sorang-sorang. Alhamdulillah…awal pregnancy & sepanjang masa pregnant, saya tak pernah alahan. Malah selera makan begitu baik sekali. Ada masa-masa tak larat nak pusing stering kereta dengan perut yang dah memboyot, saya cuma beli bekalan telur…masak nasi utk dinner & goreng sebiji telur…saya mkn dengan begitu berselera sekali…berkuah kan kicap. Tiap2 hari itu lah menu saya sementara menunggu kedatangan suami di hujung minggu untuk menikmati menu makanan di luar. Tiada istilah nak bermanja dengan suami mintak mengidam itu ini…tiada sedara nak minta dihantarkan ke sana ke mari di saat tubuh lemah membawa diri…tiada mak ayah untuk mengadu di saat kesakitan menjenguk diri…

Sehingga sarat, baby kuat menendang dinding perut saya setiap mlm. Masa tu bila tidur sorang-sorang selalu saya pasrah ‘Ya Allah, sudah mahu melahirkan ke aku…?’ selalu jugak rasa suspens apalagi bila teringat citer kawan saya, melahirkan anak di kuarters itu bertemankan suami…x sempat nak pergi hospital…kilinik paling dekat pun dalam 12 km. Last-last suami dia sendiri yang kena potong talipusat baby. Ambulan cuma sampai setengah jam kemudiannya. Sekurang-kurangnya di saat getir itu dia masih ada suami menemani… Saat saya mahu pulang ke kampong untuk melahirkan pun, sorang-sorang mengusung beg berat ke airport kerana tugasan suami tidak membolehkan dia menemani. Alhamdulillah…hanya tuhan yang sentiasa mengiringi dan menganugerahkan segunung semangat buat saya yang lemah waktu itu.


Saya, Suami dan  dan Baby
Pengalaman mengasuh anak pertama memang mendebarkan. Semuanya baru bagi saya apalagi status anak bongsu membuatkan saya tidak betah untuk melakukan semua perkara yang berkaitan dengan baby. Dari menyusukan, memandikan, memakai dan menukarkan lampin, mendodoikan, semua itu asing buat saya. Alhamdulillah, 7 bulan di bawah jagaan mak di kampung dan kami pasti balik menjenguk baby seminggu skali. Biarpun penat travel tiga penjuru (selatan-utara-timur) tapi hati saya puas dan sentiasa menikmati dan hargai setiap saat bersama suami dan baby.

Dari Kl suami akan naik ke utara ambik saya. Dari situ, kami akan balik ke Timur lepas rindu pada baby. Tak sampai 24 jam, kami balik semula ke utara dan suami turun semula ke KL. Hidup memang amat celaru waktu itu tapi sehingga ke hari ini, saya tetap hargai setiap saat dan pengalaman yang kami harungi. Bayangkan disebabkan tiadanya direct flight ke negeri saya, kami terpaksa menaiki bas…perjalanan dengan bas dalam 8 jam utk sampai. Belum sempat melepas lelah, kami terpaksa bergegas balik semula…dengan bas juga. Hidup saya (lebih-lebih lagi suami) sudah terbiasa dengan kebisingan enjin bas dan debu-debu minyak hitam yang memualkan…hingar bingar laungan jerit pekit di stesen-stesen bas sudah sebati dengan jiwa saya biarpun ikutkan hati saya impikan yang terbaik… ie perjalanan yang lebih selesa. Tapi itu saja pilihan yang saya ada…untuk memandu kenderaan sendiri memang tidak berbaloi kerana dibatasi had masa dan tenaga.

7 bulan kami harungi rutin begitu…sehingga lah usia anak kami 7 bulan lebih, saya diberi kepercayaan oleh emak untuk menjaganya sendiri….

Saya, Baby & Makcik
Alhamdulillah, akhirnya baby tinggal dengan saya dan ditemani makcik, mak sedara sebelah mak. Makcik dah agak berumur tapi masih boleh buat kerja-kerja ringan. Sejak dari itu…bermula lah corak kehidupan saya sebagai seorang ibu yang sempurna. Semangat dan cerianya lebih terasa tapi perasaan berdebar2 dan kurang yakin untuk beri yang terbaik pada baby sering menggusarkan hati saya… Alhamdulillah, baby saya tak banyak kerenah…itu lah indahnya perancangan Allah. Tiadanya suami dan keluarga di sisi, DIA anugerahkan saya banyak kemudahan lain yang tidak terhitung nilainya…saya dikurniakan tenaga yang kuat semasa pregnant, tiada rasa loya dan lemah…masa angkat barang-barang untuk pindah ofis pun, ke hulu ke hilir sorang2 dengan usia kandungan yang masih muda waktu itu… Komputer dan CPU yang berat dan buku-buku yang tebal saya cepung sendirian dari meja ke meja. Saya tak pernah rasa alahan… dan DIA takdirkan baby saya begitu mudah untuk diuruskan, tak pernah menangis lama-lama, tak pernah diserang penyakit atau demam yang serius dan tidak terlalu aktif untuk dikawal sepanjang proses pembesarannya.

Bayangkan cuma saya dan makcik yang sudah tua dan lemah kudratnya….sungguh ada kawan2 yang dtg menjenguk skali skala, tapi hakikatnya cuma kami bertiga sepanjang masa di rumah yang letaknya di pinggir bukit dan hutan itu…. Sebut lah bintang apa yang tidak ada di kawasan pedalaman seumpama  itu. Pernah semasa saya sedang melayan baby di ruang tamu, lipan bara sepanjang 6 inci menyelinap masuk berhampiran tilam baby… ya Allah…getirnya saat itu bersendirian berlari mengendong baby untuk minta pertolongan jiran sebelah rumah… ….malah kala jengking yang gelap hitam pekat dan sama size nya dengan tapak tangan saya juga pernah menerjah ruang dapur rumah saya… Alhamdulillah, DIA berikan saya jiran yang yg sangat baik dan prihatin…Kami saling mengambil berat. Pernah sekali suami jiran saya jatuh dari atas siling masa sedang membaiki atap rumah….masa tu hari jumaat, seluruh penghuni blok kuarters dah balik kampung. Dengan masih berbaju tidur, terketar-ketar saya memandu untuk menghantar suaminya yang cedera ke klinik. Anak2 yang masih kecil semua terpaksa tinggal dgn makcik sekejap. Kelam kabutnya waktu itu sungguh membuat saya betul2 panik dan sesak nafas. Itu lah tragedi ngeri yang masih jelas dalam ingatan…saya memandu dalam keadaan isteri yang sedang menangis tersedu-sedu dan suaminya yang luka berdarah membuak2 di tangan akibat terkena serpihan zink atap rumah. 

Terima kasih ya Allah…dalam kepayahan, saya masih diberi peluang untuk menyempurnakan sebuah kehidupan.

Hujung minggu sebelum suami dtg, saya akan bergegas ke pasar…dengan  menolak stroller dan kadang2 mengendong baby sebelah tangan dan sebelah lagi sarat membimbit plastik sayur, ikan dan ayam…berjalan beriringan dengan makcik yang langkahnya agak perlahan…itu lah rutin saya. Petang-petang, kami masuk kampus untuk tengok rusa di taman. Sekali sekala ditemani kawan2 lain,  kami bawa anak-anak mandi kolam… Itu je hiburan yang ada…cukup untuk mengisi ruang waktu yang sunyi…

Saya banyak terhutang budi dengan makcik yang sangat baik hati, menjaga dan melayan baby dengan begitu baik sekali. Malah lebih dari itu…kasih sayang makcik jelas terpapar  untuk baby. Makcik yang selalu sabar dan tak pernah marah. Dari kecil, saya selalu perhatikan semua orang menggunakan tonasi yang agak tinggi dan kasar tiapkali berbicara dengan makcik disebabkan sikap makcik yang agak lurus dan naïf… Jalanan hidup makcik tidak begitu indah…Dia terpaksa berkongsi kasih dengan 3 orang madunya yang lain tapi makcik tak pernah berkisah soal hati dan perasaan, tak pernah membentak setiapkali haknya sebagai seorang isteri paling tua dipandang sepi….itulah makcik yang saya kenali.


Al-Fatihah untuk arwah Makcik Yah yang telah bersemadi pada  21 Oktober 2011…semoga ruh arwah tenang di sana…Amiiin.

Pemergian makcik yang agak mengejut amat menyentap jiwa seorang ‘baby’ yang pernah menerima belaian darinya 13 tahun yang lalu….anak saya menangis teresak-esak sebaik dikhabarkan dengan berita pemergian makcik. Sehingga kini, dia masih mengulang-ngulang setiap detik bersama makcik…saya sedar, ada sendu pada setiapkali bicara dan ceritanya tentang makcik. Ada sepi dan rindu bertamu di situ…

Kali terakhir kami menatap wajah makcik sebelum diusung ke perkuburan, wajah itu begitu tenang dengan senyuman paling indah; dalam lena yang sungguh nyenyak!

Saya, baby dan 5 orang maids!!!
Percaya atau tidak sehingga anak saya berusia lima tahun, seramai lima orang maid silih berganti…(to be continued).


Thursday, 24 January 2013


SELEPAS TIGA TAHUN….SAYA RINDU DIA YANG DULU

Sungguh saya katakan,  selepas tiga tahun,  hati saya tidak boleh ditipu lagi. Saya betul-betul mengalami sepi dan rindu yg dulunya saya tepis dengan penuh rasa keegoan. Saya amati setiap rintihannya dan saya terhumban dengan rasa pilu yang membungkam….semua yang dulunya remeh kini menerjah. Betapa saya kembali cuba memahami dan menghargai setiap bicara sayunya waktu itu…

“Mak, boleh tak saya tak nak tinggal di sini…saya masih kecil. Saya janji, saya akan jadi anak yang baik… tapi tolong benarkan saya sekolah dekat dengan rumah. Saya tak biasa rutin di asrama….”

Kurang 10 minit dia akan menelefon lagi,
“Mak, boleh tak datang malam esok…saya rindu mak dan ayah…”

Dan setiap hujung minggu kisahnya,
“Mak, boleh tak buat surat, saya sakit dan saya nak balik awal…”

Hampir setengah tahun saya lalui drama yang sama hingga sampai ke tahap bicara saya agak keras,
“Mengapa awak tak faham-faham lagi….?? kami dah pilih sekolah terbaik untuk masa depan awak. Awak kena belajar berdikari. Awak tak boleh selalu bergantung pada kami lagi….Nanti bila kami dah tiada, awak nak kena uruskan diri sendiri jugak. Dah, jangan telefon lagi dan jangan sebut-sebut lagi pasal nak pindah sekolah!!!”

Kalah dengan kekerasan itu, dia luahkan atas setiap helaian dan ruang kertas yang ada….diukirnya besar-besar ayat-ayat begini,
”MAK DAN AYAH, TOLONG MAAFKAN SAYA KERANA TAK DAPAT JADI ANAK YANG BAIK, SAYA NAK PINDAH SEKOLAH….”.

Tahun pertama bersulam cerita….bila dia sudah pulih dan selesa, dia ceritakan semua pada saya….
”Mak, saya kena suruh macam2 dengan seniors masa tu. Satu mlm jam 12, senior minta saya ambilkan buku dekat bangunan sekolah yang jauhnya 100 meter dari asrama. Saya takut sangat tapi saya pergi jugak sorang-sorang sambil bawak Quran di tangan. Masa tu semua lampu dah tutup…”

Cerita nya lagi dengan nada separuh serius,
“Waktu makan kat dewan makan, senior mintak saya ambikkan makanan, bila saya nak ambik makanan utk saya, pakcik dewan makan tak bagi coz dia kata saya dah ambik tadi….Lepas balik prep, kadang-kadang tiap2 mlm saya kena basuh baju seniors….”

Saya renungi wajahnya yg penuh naif dan tidak berdosa...Menggetap bibir saya menahan geram tapi dia mohon sungguh2, jangan dilaporkan setiap kejadian kerana dia sudah biasa dan zaman itu pun telah berlalu. Lagipun katanya, semua itu perlu untuk membentuk generasi yang kental jiwanya.  Hmmm…keliru sungguh saya dengan jawapan itu…

Selepas tiga tahun berlalu, bicaranya agak sepi; bicaranya secara total berubah rentak dan tonasi….
“Mak, minggu ni boleh tak datang sekejap sahaje coz saya ada tuition…”

“Mak, minggu ni boleh balik tapi dtg ambil lewat sikit, saya ada projek dengan member2 nak kena siapkan…”

“Mak, minggu ni boleh outing tapi saya nak stay kat hostel je, seronok dengan member2…”

Dia yang kini tidak lagi dengan sikap manja dan keanak-anakkannya…dia yang kini sudah meniti remaja dan tiada lagi bicara sayunya…dia yang jarang-jarang lagi telefon saya untuk ucapkan “I miss you mum…” cepatnya masa beredar. Sungguh setakat ini saya mampu membentuk dia menjadi insan yang tabah dan berani….tapi sungguh, selepas 3 tahun berlalu, SAYA RINDU DIA YANG DULU….


Dear Son
“Try to understand that our age is not lived but survived.
Some day you will discover that,
despite our mistakes,
We always wanted the best thing for you and that we tried to prepare the way for you…we love you son…”

Luv always, MUM

Wednesday, 18 January 2012

SUATU PETANG SEBUAH CERITA....


Sudah lama tidak mencoret. Bukan kering idea tapi waktu yg tidak pernah ada ruang, lemas dihimpit kekalutan mengikut rentak dunia yang semakin rancak. “Ya Allah, jgn hanyutkan aku dengan urusan duniawi semata, kejutkan aku dalam keghairahan menyempurnakan hak dunia dan sedarkan aku sentiasa bahawa akhirat tetap menanti di sana…amiiin.”
____________________________________________________
Petang yg sibuk. Terpaksa attend meeting di luar. Saya cukup tidak gemar jika terpaksa menghadiri mesyuarat di luar dr pusat tanggungjawab. Tapi sudah diarahkan pergi, membawa amanat dan sebagai wakil yang telah sah dilantik. Maka arahan dan perintah harus dijunjung. Biar sejuta kebosanan dan kemalasan membelenggu diri, namun demi tugas hakiki, saya terpaksa korbankan kemahuan diri sendiri. Rupanya perjalanan petang tadi, terhidang dengan satu cerita utk dikongsi.
Sudah lama saya mengenali dia, tapi dari jauh. Selalu berselisih di sekitar ruang pejabat dan dia selalu dengan tingkahnya yang sopan dan tidak kedekut melemparkan senyuman. Apa yang dapat saya terjemahkan dari raut muka dan susuk tubuhnya, dia masih terlalu muda….dan ceria sentiasa. Secara kebetulan ptg itu, dia yang memandu, menggantikan pemandu pertama yang cuti kecemasan. Dalam van sewaktu pulang dari mesyuarat, cuma kami berdua, lalu saya mulakan bicara:
“Tinggal mana…?”
“Saya asal sini je kak, kat kg kerinchi…tapi sekarang saya tinggal dengan abang kat Damansara” jawabnya diiringi senyuman mesra seperti biasa.
Saya tanya lagi “Banyak buat overtime…?”
Lalu dengan ikhlasnya dia jawab:
“Ada jugak… kerja gaji drebar macam saya ni berapa la sgt kalau buat overtime pun…tapi nak kena buat jugak coz nak tambah duit…” dia senyum di akhir bicaranya.
“Takpelah, kerja ape2 pun, gaji banyak manapun tapi kalau pandai simpan, lama-lama banyak jugak duit kan…?” pintas saya cuba melemparkan rasa kelegaan….dia cuma angguk, senyum lebar tanda setuju dengan kata-kata saya.
Kabur dengan jawapannya yang pertama tadi, lalu saya susul lagi dengan soalan:
“Tadi kata tinggal dengan abg, mak ayah ada lagi…?”
Jawapannya kali ini panjang berserta huraian. Dia yang sentiasa tenang dan ceria rupanya punya cerita rahsia yang mampu  mengocak rasa pilu untuk saya garapkan di sini.
Dia punya seorang ibu yang telah lama lumpuh akibat serangan angin ahmar…masa tu dia adik beradik masih kecil. Mujur dia ada seorang ayah yang bertanggungjawab uruskan semua….seorang isteri yang tak boleh bergerak dan anak-anak yang masih kecil. Tapi masa dia masih di sekolah rendah darjah 6, ayah pergi dijemput illahi akibat kanser paru2…. Masa tu dia yang masih kecil dan seorang abang serta kakak yang jugak masih bersekolah sama-sama uruskan ibu mereka.
Terkedu saya di ayat-ayat akhir ceritanya…masa dia sebut “saya, kakak dan abg sama-sama uruskan mak yang lumpuh, masa tu saya darjah 6, gilir-gilir jaga mak…” terasa sesuatu seperti tersumbat di kerongkong saya…teringat pada anak laki-laki saya yang masih kecil, sewaktu dia darjah 6, dia masih tak boleh uruskan ape-ape, jgnkan hal org lain, uruskan diri sendiri pun dia masih terumbang ambing….
Belum sempat saya mencuri nafas panjang sebaik diterjah cerita yang menyayatkan, dia sambung lagi dengan tenangnya...
“Tapi mak saya baru meninggal bulan lepas kak…tak sakit pun, tetiba dia batuk dan muntah darah terus meninggal… selalu pagi-pagi sebelum dtg kerja saya yang uruskan makan minum dia, tukar lampin dia…”
Saya terus hilang suara…Cuma sekadar mengangguk. Baru teringat saya pernah terbaca emel makluman tentang kematian ibu salah seorang staff. Tapi emel tu sekadar singgah sekejap di mata saya lalu terus lenyap di antara emel2 lain yang lebih menarik dan perlu diberi keutamaan. Alangkah alpa nya saya…
Kesian….masih muda remaja tapi sudah melalui jalan hidup yang penuh warna-warna yang suram. Mungkin tahap pelajarannya agak terganggu disebabkan kehilangan orang tersayang pada usia yang masih mentah. Dan dalam mengharungi hari-hari mudanya, dia telah diiuji dengan tanggungjawab yang agak berat. Semoga ada hikmah di sebalik dugaan yang dia tempoh. Saya hanya mampu mendoakan semoga keadilan tuhan akan sentiasa ada utk dia. Juga doa utk saya, semoga tuhan panjangkan umur saya supaya dpt menyempurnakan tanggungjawab dalam membesarkan dan mendidik anak saya supaya jiwanya juga kental dan tabah seperti dia bila tiba masanya saya dijemput pergi... amiiin.